KUALA LUMPUR, 11 Dis (Hrkh) – Pembebasan kesemua 24 tahanan bermula petang sehingga malam ini merupakan satu kejayaan pusingan pertama Bersih sekaligus menutup tirai pesta penangkapan di parlimen hari ini.  

Lapan daripadanya adalah Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad; Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali; penganalisis pilihan raya Malaysia, Wong Ching Huat; Koordinator Suaram, Yap Swee Seng; wakil CIJ,V. Gayathri; Mien dan Pengurus Pengiklanan Harakah, Mokhtar Rozaidi jam 6 petang tadi.

Manakala, baki 16 yang lain antaranya terdiri daripada Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi, AJK PAS Pusat Dr Lo’ Lo Haji Ghazali dan Dr Mohd Nasir (PSM).

Menurut kenyataan Suaram kepada Harakahdaily, kesemua yang terlibat akan melaporkan diri sekali lagi di Mahkamah Jalan Duta pada jam 9 pagi, 18 Disember 2007 (Selasa).

Walaupun berlaku penangkapan, namun objektif Bersih tercapai apabila berjaya mengadakan sidang media di pekarangan lobi parlimen pada jam 11.40 pagi tadi dan serentak dengan itu menyerahkan memo Bersih kepada ahli-ahli parlimen pembangkang untuk disampaikan kepada ahli parlimen yang lain termasuk Perdana Menteri.

Memo tersebut secara asasnya membantah pindaan perlembagaan yang bertujuan untuk melanjutkan perkhidmatan Pengerusi SPR daripada 65 kepada 66 tahun yang dipercayai mempunyai motif untuk memberi peluang kepada Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menjawat jawatan itu semula.

Seterusnya secara tidak langsung Bersih beranggapan bahawa pelanjutan perkhidmatan Rashid adalah untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang dan menafikan peluang pembangkang untuk menang serta dalam masa yang sama mencabul hak rakyat untuk mengundi secara bijaksana dalam pilihan raya kelak. – mks.