Fudzail
SEPANJANG
 kerjaya dalam dekad 90han, saya pernah bekerja di dua buah akhbar perdana sebagai wartawan pelatih dan kemudian berkhidmat dengan sebuah stesen TV swasta di tanahair dalam pengurusan IT.

Pengalaman dalam dunia media ini tidaklah sehebat beberapa blogger yang dulunya wartawan ternama, tetapi berharga buat saya, sebagai orang biasa yang boleh berfikir dan menilai untuk mengukur sejauh mana kebebasan media.
 
Pengalaman bergaul dengan pemimpin politik peringkat nasional dan bahagian, disamping berkecimpung dengan politik, walau tidak lama, juga memberi pengalaman secara langsung mengenai realiti sebenar. Kerana itu, kesedaran terhadap politik, walau tidak aktif dengan aktiviti kepartian, menjadikan saya antara mereka yang sama bangkit dengan gelombang kuning walau tidak secara fizikal.
 
Perspektif berbeda dalam isu dan pilihan politik adalah biasa dalam demokrasi. Tidak semua orang boleh bersependapat, dan tidak semua pendapat itu sama ada salah atau betul. Yang salah adalah menidakkan hak untuk memberi pendapat dan menyuarakan bangkangan apabila tidak bersetuju.
 
Lebih kejam untuk menidakkan atau memejam mata terhadap ketidakadilan, demi perut dan survival sambil berbohong di depan jutaan manusia. Itulah kemunafikan yang lebih dari haprak.

Menang pilihanraya dalam proses yang kotor
 
Apalagi buat mereka yang dalam sedar, naik berkuasa dan menjadi wakil rakyat, menteri melalui proses pilihanraya yang kotor, tidak adil dan tidak terbuka. Penipuan dalam pelbagai bentuk, dari pendaftaran dan pertukaran pengundi mengikut strategi parti pemerintah, kepada kongkongan media sudah menjadi demokrasi ala Malaysia yang memerlukan pembersihan total.
 
Bukan lagi secara sedikit-sedikit dan perlahan-lahan kerana keadaan sudah semakin parah. Kemenangan pilihanraya melalui proses yang kotor menjadikan pemimpin lebih angkuh, apalagi apabila suara pembangkang di parlimen begitu kecil walhal undi yang terkumpul secara total mengambarkan sebaliknya.
 
Strategi mengongkong maklumat dari pengetahuan rakyat dengan penyebaran berita separuh benar dan fitnah, baik menjelang pilihanraya atau tidak, merupakan pelanggaran demokrasi yang bukan jantan sikapnya. Berselindung disebalik pelbagai akta untuk menafikan hak-hak rakyat disamping berlawan dengan pencabar yang diikat sebahagian tubuhnya adalah semangat kepondanan.

Kisah diskusi 101 East
 
Begitulah mualnya melihat kesombongan dan keangkuhan seorang menteri yang kita panggil saja Sang Botak sewaktu diskusi program 101 East di saluran Al Jazeera. Airmukanya sahaja melayakkan dia menjadi aktor gangster.
 
Lagaknya lebih memualkan berbanding seorang lagi yang diperkenalkan sebagai pemuda masa depan yang juga menantu PM. Sang Menantu yang pernah memanggil demonstran sebagai beruk-beruk di tepi jalan ini nampak berusaha cuba menonjolkan kejaguhan, kasihannya sering pula dicantas oleh hos progam.
 
Dengan klip perarakan BERSIH dipaparkan dahulu sebelum diskusi, kedua Sang Botak dan Sang Menantu terpaksa menjadi defensif. Hujah-hujah propaganda mempertahankan tindakan polis adalah kitar semula yang lebih mencerminkan kesempitan, selain terperangkap dengan pembohongan sendiri.
 
Sang Botak cuba menggelirukan penonton dengan menuduh Imtiaz mengatakan pengundi adalah bodoh untuk memilih pemimpin seperti Sang Botak. Dangkal sekali strategi Sang Botak yang mungkin dalam hatinya mengakui bahawa dia memang bodoh untuk menerima jemputan ke program tersebut dan menonjolkan bodoh sombong seorang menteri. 

Tiada cacat selagi berkuasa
 
Tidak dapat disangkal bahawa sistem dan proses pilihanraya memanglah sempurna buat mereka yang mengkudakannya. Tiada cacat cela selagi mereka berkuasa untuk berbuat apa sahaja seperti memperkayakan diri dan keluarga. Memang tidak perlukan apa-apa perubahan dengan segala advantej yang ada.
 
Saya begitu mual untuk mengulas lanjut. Terpulanglah pada penonton untuk menilai para panel dan hujah-hujah kedua pihak. Setelah dicerca oleh menteri penerangan, Al Jazeera memberi peluang kepada pihak yang kian tertekan dan berada dalam keadaan defensif untuk menyampaikan perspektif kelabu mereka ke dunia yang ‘bebas’ menurut piawaian antarabangsa.
 
Menteri penerangan tersebut dikatakan telah dijemput tetapi menolak, mungkin tidak sanggup menampakkan giginya yang kuning.
 
Seperti dijangka, lapuran BERNAMA cuba mengambarkan yang sebaliknya dan hanya sekali memetik pedapat Imitiaz. Itulah hakikat media yang bebas, bebas untuk mengolah lapuran mengikut kepentingan pihak yang berkuasa sahaja. Itu belum lagi lapuran membaca akhbar lain.
 
Bagi saya sebagai warganegara yang prihatin terhadap masa depan negara dan generasi akan datang, kita tidak perlukan mereka yang sombong, bodoh dan bodoh sombong sebagai pemimpin. Tidak kira pemimpin itu masih muda, sudah tua, pemerintah atau pembangkang. Pemimpin seperti ini boleh dibagi penyapu sebagai cenderahati sebelum pencen atau dijatuhkan (kalau tidak didakwa dengan segala penyelewengan dan korupsi)
 
Yang menjadi kewajiban sekarang buat rakyat yang insaf dan sedar, seperti kata ZAM dengan bahasa Inggeris lintang pukang, sebelum kita menjadi setaraf Myanmar, Pakistan atau Mozambique, adalah untuk memBERSIHkan kepimpinan negara yang tidak BERSIH melalui pilihanraya yang BERSIH, yakni telus, terbuka dan adil.
 
(Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak tahun 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terlibat dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain. Kini menguruskan projek pembinaan prasana dan utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui <!– var prefix = ‘ma’ + ‘il’ + ‘to’; var path = ‘hr’ + ‘ef’ + ‘=’; var addy30507 = ‘fudzail’ + ‘@’; addy30507 = addy30507 + ‘yahoo’ + ‘.’ + ‘com’; document.write( ” ); document.write( addy30507 ); document.write( ” ); //–>\n fudzail@yahoo.com <!– document.write( ‘‘ ); //–> This e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it <!– document.write( ” ); //–> serta kerjadubai.blogspot.com)