KUALA LUMPUR, 15 Nov (Hrkh) – Naib Presiden KeADILan, Sivarasah Rasiah bersetuju dengan pandangan laporan yang dikemukakan oleh bekas wakil Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Thierry Romell yang menyebut bahawa undang-undang yang sedang digunapakai di Malaysia sekarang adalah sama dengan undang-undang sebuah negara yang mengalami darurat.

“Ini kerana tempoh berkempen yang begitu singkat serta laporan media yang memonopoli sistem penyampaian maklumat kepada rakyat berada dalam keadaan yang begitu ‘bias’ atau dikongkong oleh pemerintah,” ringkasnya.

Sivarasa bersama-sama ahli jawatankuasa Bersih yang lain, Ronnie Liu, Dr Syed Azman ditemui selepas diminta hadir memberi kenyataan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Kompleks Pejabat kerajaan di Bukit Perdana Kuala Lumpur, pagi ini.

Dalam kenyataan yang diminta oleh polis pagi ini, ketiga-tiga mereka dipanggil atas tuduhan mengadakan perhimpunan haram pada 10 November lalu yang dianjurkan satu pertubuhan yang tidak didaftarkan.

Antara ahli jawatankuasa Bersih lain yang hadir turut membawa kain rentang yang berbunyi, ‘Rakyat tuntut pilihan raya bersih dan adil’ dan ‘Restore Democracy in Malaysia’ sebagai tanda sokongan kepada mereka yang disoal siasat.

Walau bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Perhimpunan 10 November anjuran Bersih, Mohamad Sabu tidak dapat menghadirkan diri atas sebab-sebab tertentu.

Ketika ditemui selepas selesai membuat kenyataan pada jam 12.15 tengah hari tadi, ketiga-ketiga mereka memberi kerjasama yang baik sebagai bukti mereka melaksanakan tanggungjawab mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah, yang membenarkan pegawai polis meminta kehadiran saksi.

Sivarasa dalam kenyataannya kepada media menyangkal tuduhan polis yang menyatakan Bersih sebagai pertubuhan haram seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Bersih – yang dilancarkan pada November 2006 – merupakan gabungan lima parti politik dan 67 badan bukan kerajaan (NGO) yang berkempen menuntut dilakukan pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini.

“Mereka sebenarnya mahu mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang diperjuangkan oleh rakyat iaitu menuntut pilihan raya bersih dan adil. Tetapi kerajaan tetap mahu menyalahkan Bersih sebagai pertubuhan haram yang tidak mempunyai permit untuk mengadakan perhimpunan pada 10 November lalu, seterusnya menyalahkan kita yang menjadi punca kekecohan dan kesesakan jalanraya di Kuala Lumpur tempohari,” jelasnya dengan panjang lebar.

Beliau menyeru agar kerajaan mengambil berat tentang apa yang telah dikemukakan dalam memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada 10 November lalu supaya memastikan sistem pilihan raya negara bersih daripada sebarang penyelewengan dan campurtangan pihak yang berkepentingan.

Pada akhir sidang media itu, Sivarasah mengulangi seruan beliau kepada semua yang menyokong tuntutan Bersih untuk memulihkan sistem pilihan raya supaya mengenakan warna kuning pada pakaian atau apa sahaja yang dibawa sebagai tanda sokongan.

Mereka yang hadir turut ditemani oleh tiga peguam, Johnson Chong, N. Surendran dan Yusmadi Yusof.

Semalam, empat anggota jawatankuasa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) telah diminta hadir untuk memberikan keterangan di Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan di Bukit Aman, Kuala Lumpur. Manakala lapan anggota jawatankuasa gabungan tersebut telah menerima panggilan dan surat daripada polis, tetapi hanya empat orang saja yang dipanggil mengikut Seksyen 111.

Mengikut seksyen itu, mereka wajib menemui polis. Surat-surat yang lain tidak menyebut tentang seksyen tersebut, jadi kita percaya mereka tidak perlu hadir,” kata sekretariat Bersih, Madeline Ong yang dilaporkan Malaysiakini.

Mereka terdiri daripada Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; Khairul Annuar Zainuddin dan Johari Abdul, serta Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok.

Pada 3 November lalu, lapan anggota jawatankuasa Bersih itu telah dihubungi untuk disoalsiasat oleh ASP Amran Jusin berhubung laporan polis yang dibuat oleh seorang individu di Setapak mengenai status organisasi tesebut yang didakwa sebuah pertubuhan haram.

Antara mereka telah diberi notis supaya menghadiri satu mesyuarat pada 9 November. Bagaimanapun, mereka sebulat suara enggan hadir kerana sedang sibuk membuat persiapan untuk mengadakan perhimpunan Bersih pada keesokan harinya.

Kata sepakat kemudiannya dicapai untuk anggota jawatankuasa berkenaan menghadiri soal-siasat pada 12 November, iaitu selepas perhimpunan itu diadakan, tetapi ianya ditangguhkan.

Mereka terdiri daripada Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah; Ketua Jawatankuasa Biro NGO DAP, Ronnie Liu; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Syed Azman Nawawi.