Kenyataan Media Pejabat Presiden
PAS tidak pernah sekali-kali mengeluarkan kenyataan bahawa pihak istana khasnya Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong terlibat dalam apa bentuk sekalipun, dalam menjayakan Perhimpunan Aman BERSIH pada 10 November 2007 yang lalu. Perhimpunan tersebut adalah perhimpunan aman masyarakat sivil, iaitu rakyat Malaysia yang bangun menuntut hak mereka bagi memulihkan sistem pilihanraya, iaitu tonggak amalan demokrasi negara, yang terbukti semakin tercemar dan tempang.

Melalui gabungan BERSIH, PAS bersama-sama 60 NGO dan parti-parti politik yang lain telah turun ke Kuala Lumpur untuk berhimpun secara aman dan menyerahkan memorandum tuntutan atas nama BERSIH kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong atas keyakinan bahawa Tuanku adalah payung dan pelindung rakyat dalam keadaan rakyat mula mencurigai sistem pilihanraya yang dikendalikan oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Adapun kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS, YB Dato’ Kamarudin Jaffar Isnin lepas, bermaksud bahawa BERSIH telah terlebih dahulu menerima perkenan dari Baginda untuk menyerahkan memorandum rakyat jelata itu ke Istana Negara pada hari Sabtu berkenaan. PAS tidak pernah mendakwa yang Tuanku terbabit dalam Perhimpunan Aman BERSIH itu atau Tuanku bersetuju di atas kandungan memorandum BERSIH. BERSIH berlapang dada atas apa sahaja tindakan yang bakal Tuanku ambil terhadap memorandum tersebut.

PAS menyeru agar jangan ada mana-mana pihak cuba melaga-lagakan di antara rakyat jelata dengan Seri Paduka Baginda atau Raja-raja Melayu atau pihak istana. PAS tidak pernah dan tidak akan sekali-kali memperjudi atau menggadaikan kesetiaanya kepada Raja dan Negara.
 
 

16 November 2007

ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
SETIAUSAHA AKHBAR KEPADA PRESIDEN