KUALA LUMPUR, 11 Nov (Hrkh) – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato’ Seri Anwar Ibrahim tegas berpendirian bahawa menggerakkan rakyat ke jalanan bagi memprotes penipuan dalam pilihan raya seperti himpunan di hadapan Istana Negara semalam adalah jalan terbaik untuk memberi tekanan dan mesej bantahan kepada kerajaan yang korup dan lemah.

“Hari ini terbukti cabaran Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi disahut rakyat yang turun 100,000 ke jalanraya bagi menuntut satu pilihan raya yang adil dan bersih.

“Jika hari ini kita dapat gerakkan rakyat 100,000 turun ke jalan raya, tiga minggu lagi saya cadangkan terpulang kepada Bersih, kita ajak rakyat turun ke jalan raya menuju ke Parlimen dengan kali ini kita gerakkan 200,000 rakyat turun ke jalan raya,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa Ceramah Perdana anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Markas Tarbiyyah PAS, Taman Melewar malam tadi sebagai satu solidariti selepas menyertai himpunan 100,000 rakyat di Istana Negara semalam.

Turut serta dalam ceramah umum anjuran Bersih di Taman Melewar malam tadi selepas himpunan 100,000 rakyat pada jam 2.30 petang semalam berjaya ialah, Penasihat Perti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; AJK DAP Pusat, Ronnie Liu dan Koordinator Penggerak Demokrasi, Anuar Tahir.

Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, berkata kerajaan yang dipimpin Abdullah Ahmad Badawi adalah kerajaan yang paling lemah.

Tidak ada kerajaan yang seteruk ini sejak dahulu lagi hinggakan habis semua kekayaan negara dipunggah oleh perasuah dan kroni hingga rakyat terpaksa menanggung bebannya.

Sambil menyifatkan inilah kerajaan Islam Hadhari yang dibanggakan Perdana Menteri, yang membenarkan perasuah bermaharajalela beliau mengajak rakyat mengajar kerajaan penipu ini dalam pilihan raya akan datang.

Ujarnya, masanya sudah tiba untuk menghukum kerajaan yang tidak mementingkan hak dan kebebasan rakyat ini tetapi dengan satu syarat pilihan raya mestilah diadakan dalam suasana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) benar-benar beas dan adil.

Sejarah menunjukkan SPR diperalat oleh Umno/Barisan Nasional (BN) untuk terus berkuasa bagi memunggah kekayaan negara masuk ke kantung pemimpin, sedangkan rakyat terus hidup dalam keadaan susah.

Bagi bekas Timbalan Presiden Umno itu, tiada gunanya rakyat meletakkan kepercayaan dan mengundi pemimpin kerajaan yang ada hari ini kerana semua mereka dipilih dan dinaungi oleh tauke-tauke judi.

Mengulas mengenai isu klip video ‘Pita Lingam’, Anwar yang kesal dengan tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang menyiasat pelapor tetapi membebaskan perasuah berkata, kerajaan hari ini wujud atas kehendak tauke-tauke judi.

Skandal dalam pita tersebut jelas menunjukkan adanya pakatan dari rakan kongsi Vincent Tan, VK Lingam dan Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mencatur kedudukan hakim di negara ini, katanya.

Percaturan itu dibuat atas kehendak tiga tauke judi ini yang mahu kes-kes membabitkan rasuah dan penyelewengan ditutup oleh hakim yang dipilih, katanya.

Ini menyebabkan sistem kehakiman negara ini dikutuk yang akhirnya akan menyebabkan rakyat malu, katanya.

Justeru itu dengan hanya turun ke jalanan bagi menyuarakan bantahan ke atas sistem yang sudah rosak ini akan membangkitkan kesedaran rakyat menentang kezaliman, penipuan dan penyelewengan, kata Anwar.

Rakyat perlu terus digerakkan bagi mendapatkan momentum yang baik seperti himpunan hari ini (10 November) berterusan, katanya.

Beliau yakin walaupun dengan halangan dan sekatan, rakyat yang cukup kecewa dengan kepimpinan Abdullah ini akan berani turun ke jalan raya menuntut hak mereka.