KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) – Pihak polis mengarahkan kira-kira 10,000 orang ramai yang berkumpul di Masjid Negara yang selesai bersolat Zohor untuk beredar dari masjid termasuk di sekitar perkarangan kawasan masjid.

Sebelum itu, polis hanya membenarkan orang ramai memasuki masjid setelah azan Zohor dilaungkan. Kesesakan melampau berlaku ketika orang ramai mahu mengambil ‘wuduk’ memandangkan polis hanya membenarkan mereka memansuki perkarangan masjid dalam masa yang singkat.

Hampir 10,000 orang ramai bersolat tanpa gangguan, bangaimanapun dipantau oleh pihak polis dari jarah dekat.

Pimpinan PAS mula mengerumuni perkarangan masjid termasuk Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa; Naib Presiden, Mohamad Sabu; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh; Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamarudin Jaffar; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; pimpinan NGO dan pembangkang lain.

Setakat ini maklumat dari Setiausaha Agung PAS di Masjid Negara menyatakan polis hanya memberi arahan di luar perkarangan masjid sementara masih tidak menggangu perjalanan di dalam dewan solat.

Pimpinan PAS dan Bersih masih berkubu di dalam Masjid Negara. Beliau juga melaporkan gerombolan peserta himpunan dari Sogo sedang menuju ke Dataran Merdeka yang kini dikawal ketat polis.

Sementara AJK PAS Pusat yang ada di sana ialah, Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib, Mujahid Yusof Rawa, Amiruddin Hamzah, Dr Lo’ Lo Mohd Ghazali dan beberapa pimpinan MT KeADILan.

Polis memberikan arahan bersurai, di Masjid Negara sementara di Jalan Masjid India dan Masjid Jamek, kira-kira 100 anggota Unit Amal mula membuat barisan untuk mengawal peserta himpunan.

Wartawan Harakah, Salmiyah Harun yang berada di lokasi melaporkan polis mula merapati gerombolan orang ramai menyebabkan keadaan agak kecoh.

FRU mula mengepung orang ramai di Masjid Jamek, manakala ada peserta himpunan merempuh benteng yang diadakan oleh FRU di kawasan masjid berkenaan.

Sementara itu terkini, Mohamad Sabu yang memimpin ucapan permulaan di Masjid Negara mengumumkan himpunan akan bergerak ke Istana Negara dengan menunggu gerombolan peserta dari Masjid Jamek, Dataran Merdeka dan Sogo.

Di Dataran Merdeka, FRU terus menyembur peserta himpunan termasuk dengan gas pemedih mata.Wartawan Harakah di sana, Roy Rasul turut terkena semburan pemedih mata.

Hingga kini, FRU menggunakan semua anggotanya untuk menghalang pergerakan peserta himpunan yang mahu menuju ke Masjid Negara untuk bergabung di sana menuju ke Istana Negara.

Orang ramai termasuk bukan peserta himpunan turut disembur dengan gas di LRT Masjid Jamek, sementara mereka meneruskan perjalanan melalui jalan-jalan susur ke Masjid Negara.

Di Masjid Negara, Presiden PAS yang lengkap berjubah dan berjaket kuning mula turun bagi mengepalai gerombolan orang ramai untuk ke Istana Negara.

Hujan lebat yang membasahi batang tubuh peserta himpunan membakar semangat mereka untuk meneruskan perarakan ke Istana Negara.

Di Masjid Negara setakat ini tidak ada sebarang kekacauan berlaku, dan Helmi Khalid melaporkan polis masih memerhati dan memberi amaran dari semasa ke semasa.