KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin pembangkang dan NGO berjaya menyerahkan memorandum kepada pihak Istana Negara, namun di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Dataran Merdeka 20 orang awam ditahan polis.

Saidatul Amani melaporkan bahawa Presiden PAS, Ketua KeADILan dan Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail baru sahaja keluar dari perkarangan Istana Negara selepas menyerahkan memorandum. 

Anwar dilihat sedang berbincang dengan pegawai polis bagi meminta agar tiada tindakan dilakukan termasuk tangkapan ke atas peserta himpunan aman.

Begitupun, beberapa tangkapan telah dibuat di Dataran Merdeka, Jalan Tunku Abdul Rahman dengan polis masih mengejar peserta himpunan.

Keadaan menjadi semakin tidak terkawal, polis bertindak menyerbu siapa sahaja di sana menyebabkan peserta perhimpunan aman mula menggerakkan langkah menuju ke arah lain.

Polis dikatakan berkubu di Jalan Tunku Abdul Rahman dengan penangkap bebas berkeliaran mencari mangsa.

Wartawan Harakah Azamin Amin melaporkan, polis mula menyerbu orang ramai untuk menahan sesiapa sahaja terutamanya mereka yang berpakaian kuning.

Keadaan semakin kelam-kabut dan polis mengambil kesempatan menahan secara rambang tidak kira siapa sahaja.

Setakat ini polis berpakaian preman digunakan bagi menahan sesiapa sahaja yang melintas, berada atau menyusuri jalan sekitar Dataran Merdeka, Pertama Komplek, Jalan Masjid India dan Masjid Jamek.

Lagi laporan terkini, Azamin melaporkan bahawa tujuh lagi ditahan termasuak dua warga emas berusia lebih 50 tahun menjadikan 20 orang setakat ini ditahan.

Mereka yang ditahan difahamkan dibawa ke IPK Jalan Hang Tuah.

Sementara itu, pada jam 4.15 petang tadi, polis mula mengepong seluruh jalan di depan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pernas untuk menyekat dan menahan baki peserta himpunan yang berada di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman dan Dataran Merdeka.

Wartawan Harakah, Helmi Khalid yang berada di Masjid Negara selepas berarak pulang dari Istana Negara melaporkan keadaan terkawal, polis hanya memerhati sahaja pergerakan peserta himpunan.

Terdahulu katanya, di Istana Negara, Ustaz Abdul Hadi, Anwar Ibrahim dan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu sempat berucap di hadapan peserta himpunan menyampaikan amanat kepada penyokong.