KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) – Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamarudin Jaffar memaklumkan BERSIH berjaya mengumpul lebih 100,000 peserta dalam perhimpunan aman yang bermula sejak jam 2.00 petang tadi di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, khususnya di kawasan Istana Negara walaupun terpaksa mengharungi pelbagai sekatan polis.

Beliau yang menghubungi Harakahdaily sebentar tadi berkata, PAS dan pakatan dalam Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berjaya mengawal perhimpunan dan membuktikan tiada unsur ganas atau sebagainya seperti yang diuar-uarkan Umno-BN sebelum ini.

Bangga dengan sikap yang ditunjukkan peserta perhimpunan, beliau menyifatkan ia cukup berjaya menyampaikan mesej kepada kerajaan bahawa rakyat menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

“Kami berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara dan pulang semula ke tempat masing-masing tanpa sebarang kekecohan, mahupun tindakan provokasi,” tegasnya.

Begitupun, katanya beberapa penangkapan yang berlaku di Dataran Merdeka, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Sogo yang melibatkan lebih 30 peserta adalah kerana tindakan polis menyekat perarakan dari kawasan terbabit.

Beliau mengecam keras tindakan polis yang sejak dari semalam memulakan sekatan terhadap peserta perhimpunan dengan sekatan di beberapa batang jalan raya, lebuh raya dan plaza tol pelbagai arah menuju ke Kuala Lumpur.

“Kami telah buktikan bahawa tanpa gangguan kami boleh berhimpun secara aman,” kata Kamarudin.

Menurut beliau, perjalanan perarakan dari Masjid Negara sedikitpun tidak menampakkan kekecohan mahupun aksi ganas, malah peserta cukup menjaga tingkah laku semasa berjalan menuju ke Istana.

Begitu juga semasa perjalanan pulang, peserta perarakan raksasa itu mampu mengawal diri tanpa sebarang keganasan mahupun tindakan provokasi.

Sementara itu mengulas mengenai tindakan seterusnya yang akan dilakukan PAS dalam menyelesaikan masalah peserta yang ditahan beliau menyatakan setakat ini pimpinan sedang berbincang di Pejabat Agung PAS mengenai perkara tersebut di Jalan Raja Laut.

Tindakan susulan akan dimaklumkan kemudian, katanya.

Terkini perkembangan dari Dataran Merdeka, Jalan Tunku Abdul Rahman dan sekitar Sogo, Azamin Amin melaporkan keadaan agak lengang setelah lebih 30 peserta himpunan ditangkap pihak polis dalam serbuan rambang sekitar jam 3.30 petang hingga hingga 4.15 petang tadi.