KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) – Beberapa orang yang ditahan berdekatan LRT Masjid Jamek petang tadi dibebaskan tanpa syarat di IPK Jalan Hang Tuah sejurus sebelum maghrib tadi.

Seorang pemanggil yang enggan disebutkan namanya memberitahu Harakahdaily, anggota MPT KeADILan, Sivarasa Rasiah, beberapa orang peguam dan wakil dari Suaram berada di pondok pengawal IPK sebentar tadi.

Katanya, Sivarasa memberitahu, pihaknya cuba untuk berunding dengan pihak polis bagi membebaskan semua tahanan.

Menurutnya, beliau ditahan di Jalan Melayu dan diarahkan masuk ke dalam Black Maria bersama lebih 20 orang yang lain.

Beliau berkata, ada diantara yang ditahan bersama beliau terdapat beberapa orang yang cedera akibat ditendang oleh anggota pasukan Unit Simpanan Persekutuan.

“Kami ditahan dan diugut dikenakan tindakan di bawah Seksyen 27 Akta Polis yang disabitkan tuduhan hendak merusuh.

“Ini adalah tindakan jahat pihak polis, kami datang untuk berhimpun secara aman, bukan hendak merusuh, kami tahu ini Malaysia, bukannya Myanmar,” keluh beliau.