Oleh Ruhanie Ahmad
Kini terdapat sekumpulan kadam suruhan seorang anak muda codenamed “Beruang hitam” sedang menyebarkan risalah di sekitar Kuala Lumpur dan Lembang Klang. Kadam-kadam berkenaan diarah oleh bosnya untuk menggagalkan gelombang kuning yang akan menggelora daripada Dataran Merdeka menuju ke Istana Negara, Kuala Lumpur, Sabtu, 10 November 2007, mulai 3.00 petang.

Kadam-kadam “Beruang hitam” juga menyebarkan berita bahawa bos mereka telah mengarahkan sekumpulan “askar upahan” untuk memprovokasi peserta gelombang kuning supaya bertindak liar di sepanjang perjalanan mereka menuju ke Istana Negara.

 Image

Jangan terpedaya dan jangan patah semangat. Pastikan gelombang kuning akan tetap menggelora. Sepatah kata hebahan dalam Malaysia Today, sebaik sahaja perarakan tiba di perkarangan Istana Negara, seramai 10 orang wakil gelombang kuning akan diperkenankan masuk mengadap dan menyampaikan memorandum yang mengandungi hasrat dan cita-cita rakyat jelata kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Lantas, buktikanlah kepada dunia bahawa gelombang kuning memang sebenar-benarnya satu perarakan aman. Mulakanlah langkah dengan bacaan ikrar Rukun Negara. Susulilah ikrar itu dengan nyanyian lagu Negaraku. Laungkanlah kalimah: Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, di sepanjang perjalanan dengan penuh semangat membelah angkasa.

Bergeraklah dengan penuh sopan santun dan budi bahasa. Junjung dan araklah Jalur Gemilang dengan penuh tertib dan gaya perwira negara. Jangan layan apa jua bentuk provokasi yang mungkin dicetuskan oleh kadam-kadam “Beruang hitam”. Jalan dan terus berjalan dengan langkah perkasa, mengikut alir dan arus gelombang kuning menuju ke Istana Negara.

Dengan susun cara seperti di atas, mana-mana pihak yang berusaha menggagalkan gelombang kuning adalah kelompok yang mahu mengkhianati rakyat jelata daripada mengadukan nasib mereka kepada Rajanya. Dengan susun cara seperti di atas juga, kalaulah terjadi sesuatu yang tidak diingini, cepat-cepatlah katakan bahawa itulah angkara “Beruang hitam” dan kadam-kadamnya yang sedang mabuk kuasa!

Insaflah. “Beruang hitam” sedang bekereja keras untuk mencipta “collateral damage” yang akan dijadikan bahan bukti kononnya gelombang kuning adalah satu tindakan tanpa budaya.

Oleh itu, jangan izinkan gelombang kuning diperdayakan oleh mana-mana pihak. Gelombang kuning bukan berhasrat mencari “collateral damage”. Sebaliknya, gelombang kuning mencita-citakan “collateral advantage” demi kesejahteraan Malaysia dan rakyat jelatanya.

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku!!!