Mohd Sayuti Omar   
9:00 pagi – Dua puluh empat jam dari sekarang akan tibalah hari yang bernama hari esok yang penuh dramatik – 10 November 2007. Hari yang ditunggu-tunggu oleh banyak orang. Sore yang dikira akan menggelombangkan satu lagi kebangkitan rasa rakyat ke atas apa yang mereka rasakan tidak adil dan zalim buat mereka sebagai rakyat dalam sebuah nusa merdeka.

Pada detik itu Dataran Merdeka akan merakam gelora rakyat. Menghimpun perasaan insan dari berbagai lapisan yang marah ke atas apa yang berlaku selama ini. Mereka akan berhimpun atas satu niat mahukan pilihan raya diadakan secara bersih dan putih dan sekaligus mahukan demokrasi dipulihkan.

Perhimpunan esok juga mencatat satu perhimpunan terbesar di era Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM dan akan menjadi penutup kalendar tahun 2007.

Teka-teki kini bermain di kepala apakah saat yang penuh dramatik, bersejarah dan bakal melakarkan satu nostalgia umat itu berlaku dengan sewajarnya. Tidak ada apa-apa insiden yang tidak diingin terjadi. Atau tegasnya himpunan esok tidak akan menjatuhkan seurat bulu roma dan menitiskan setitis darah.

Atau himpunan esok, bakal terus merobekkan hati dan meluaskan lagi pedih luka sukma rakyat yang inginkan kebenaran dan keadilan. Atau esok rumput-rumput di dataran merdeka akan segar bilaman water cannon dipancurkan dan ada titis darah yang mengalir.

Semuanya menjadi tanda tanya kerana himpunan esok masih lagi menjadi milik takdir. Apa-apa saja esok akan boleh berlaku sekiranya ia tidak berjalan seperti mana dirancangkan. Kemungkinan dan hakikat ini hendaklah tersimpan dalam benak semua orang yang akan ke Dataran Merdeka esok baik oleh para himpunan maupun pasukan keselamatan terutamanya si kepala ‘merah’.

Yang jelas dan nyatanya rakyat ghairah menanti hari esok. Ada yang tidak sabar-sabar menanti jenguhan sang suria esok. Sejak seminggu lalu sudah ada yang datang ke Kuala Lumpur, menumpang rumah kawan dan sanak-saudara semata-mata untuk menanti menyaksi dan menyertai himpunan 100,000 itu.

Sudah muak

Ini menunjukkan himpunan itu disokong oleh banyak orang. Sokongan itu pula membayangkan betapa mereka sudah muak dengan apa yang dilakukan ke atas mereka – menjadi mangsa demokrasi comot.

Mereka yang menggilai himpunan itu baik kerana ghairah dengan tuntutan ataupun sekadar suka berdemonstrasi kini sudah menggaya-gayakan aksi untuk ditunjukkan pada hari tersebut. Sudah ada yang mencuba baju berwarna kuning, pakaian rasmi untuk himpunan esok, baik yang dibeli ataupun didiberikan secara percuma.

Ada menghadap cermin, mengaksikan gaya yang akan dipersembahkan pada himpunan itu. Ataupun sedang menggarap pekataan dan laungan yang hendak dihemburkan di Dataran Merdeka dan sepanjang jalan menuju ke Istana Negara. Slogan dan sepanduk juga mungkin sudah siap dijahit dan ditulis.

“Kami Mahukan Pilihan Raya Bersih,” “Kami Mahukan Keadilan,” “Kami Mahukan Ketelusan”, “Pulihkan Demokrasi”, “Rashid Letak Jawatan”, “Tolak Kerajaan Zalim” dan kami mahu entah apa-apa lagi slogan dan kata-kata yang disiapkan untuk hari esok. Yang pastinya Dataran Merdeka esok akan digungai dengan seribu sepanduk dan slogan yang memedihkan hati penzalim negara ini.

Dalam pada itu tidak kurang juga yang bersiap sedia dengan pakaian demostrasi lebih anggun, ala-ala kalis peluru. Menyediakan beg galas ala-ala SB untuk disimpan air mineral water yang bakal dijadikan penawar dan air jampi bila disemburkan dengan air kencing syaitan oleh FRU.

Sehingga menjelang hari esok, khayalan mengenai himpunan itu akan terus menakhtai dalam kepala. Cakap-cakap mengenai aura himpunan itu semakin nyata dan jelas. Bayangan tentang hari esok juga semakin menjadi dan berbalam-balam dalam rongga kepala setiap orang.

Isu himpunan itu juga turut sama berlegar di PWTC tempat di mana parti Umno mengadakan perhimpunan agung. Ini jelas membayangkan himpunan esok turut sama masuk dalam kepala penyokong Umno dan ia mulai dibimbangi dengan apa yang bakal berlaku. Gara-gara itu ada yang hadir ke perhimpunan itu melewatkan kepulangan mereka ke kampung halaman kerana ingin melihat himpunan di Dataran Merdeka.

Dalam seribu kemungkinan itu, ada harapan apa yang berlaku esok akan megembalikan nostalgia pada 21 September 1998 di mana pada tarikh itu berlangsungnya satu himpunan raksasa menyokong Anwar Ibrahim. Perisitwa yang berlaku selepas solat Jumaat itu bergerak ke Dataran Meredeka.

Hari itulah Dataran Merdeka penuh sesak dengan manusia. Himpunan itu juga akhirnya membawa Anwar Ibrahim ke dalam lokap. Ataupun perarakan dan himpunan esok akan menyamai apa yang berlaku di Lebuh Raya Kesas tujuh tahun lepas. Pada 5 November 2000 Lebuh Raya Kesas telah dipenuhi oleh ratusan ribu manusia yang berjalan dan menuntut agar Anwar Ibrahim dibebaskan dan Dr Mahathir Mohamd berundur.

Apakah perisitwa esok akan mengulangi kedua peristiwa itu? Begitulah harapannya tetapi kelukaan yang berlaku di Kesas dan kesedihan yang berlaku selepas himpunan di Dataran Merdeka sembilan tahun lalu hendaknya jangan terjadi lagi. Sesungguhnya impak daripada apa yang berlaku itu, rakyat dipukul di Kesas Highway dan pemimpin dipenjara sungguh meluka dan menghibakan rakyat.

Didoakan perhimpunan esok akan berlangsung dengan aman. Tidak ada kelukaan dan kerosakan harta benda. Hendaklah biarkan para himpunan dapat meluahkan perasaan mereka sehabisnya. Biarlah himpunan berarak memanjang jalan raya menuju ke istana untuk menyerahkan memorandum jiwanya kepada Yang di-Pertuan Agong dengan baik dan selamat.

Tidak perlu takut

Sebenarnya tidak ada apa yang perlu ditakuti oleh mana-mana pihak termasuk pasukan keselamatan (Polis) dan Umno. Dalam hal ini polis harus profesional berhadapan dengan himpunan itu. Sama ada perhimpunan itu akan jadi kacau atau tidak, ia terletak kepada sejauh mana kebijaksanaan polis menanganinya. Kalau polis dapat mengawal keadaan mereka sendiri, tidak melakukan provokasi dengan apa juga niat ia akan berlangsung dalam suasana baik.

Formulanya senang sahaja. Polis jangan mudah gabra dan hendakah menganggap himpunan 100,000 itu hanya simbolik kepada 10 orang sahaja. Jangan melihat himpunan itu ramai. Biarlah mereka meluahkan perasaanya dan menyerahkan memorandum.

Jangan disekat dan dihalang mereka. Jangan ugut dan kacau dengqn menyembur dengan gas pemedih mata atau water cannon atau menunjukkan aksi sombong dan pernuh berkuasa. Layanlah himpunan esok dengan penuh diplomasi dan sebagai sekumpulan sahabat.

Tetapi kalau polis melihat himpunan 100,000 itu esok sebagai himpunan satu juta, umpama lebah yang berhimpun untuk menghisap madu di kepala mereka, maka ia akan menimbulkan masalah. Polis jangan mencipta bayangan kebimbangan dan ketakutan tidak munasabah dan melampau dalam hal ini.

Pasti kalau polis tidak menganggu, berhemah dan berjaya mematahkan anasir-ansir yang mungkin hadir yang mahu mengkhianti perhimpunan itu ia tidak akan menjadi celaru dan senang sukar untuk dikawal. Tetapi kalau anasir itu sempat menyelit dan melakukan sebotaj dan sebagainya, tidak ada siapa boleh menjamin himpunan tidak akan bertindak balas!

Kesediaan Pemuda Umno untuk turun menganggu sekiranya mereka diminta berbuat demikian hendaklah diawasi. Kenyataan itu jangan dipandang remeh dan polis perlu memantaunya mulai sekarang. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak manis dan elok dalam himpunan itu polis jangan teragak-agak untuk membayangkan yang bertanggungjawab ke atas kekacauan itu ialah pasukan Sedia Gempur itu. Dalam hal ini janganlah diteruskan tindakan double standad sehingga menjatuhkan imej dan wibawa pasukan polis.

Pihak Unit Amal Pas dikatakan bersedia untuk membuat kawalan dan memberi khidmat tunjuk arah dalam himpunan itu. Berpandukan kepada apa yang dilakukan sebelum ini, unit berkenaan dapat mengawal apa-apa juga majlis terutama yang dianjurkan oleh parti itu.

Para himpunan esok juga perlu bertertib dan tidak emosional tanpa arah. Arahan dan tunjuk jalan yang diberikan hendaklah dipatuhi dengan sopan dan tepat.

Seperkara lagi, walaupun himpunan itu dianjurkan oleh parti-parit politik khasnya Pas dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), tetapi adalah elok kalau gambaran esok tidak menampakkan ianya berwajah Pas dan Keadilan. Perhimpunan kuning itu janganlah menjadi perhimpunan hijau atau merah biru.

Untuk ini pihak Bersih yang menjadi badan pengendalinya hendaklah memastikan bahawa esok tidak ada bendera parti politik yang dibawa masuk ke Dataran Merdeka. Sekiranya esok himpunan itu dipenuhi dengan bendera parti politik, atau dieskploitasikan untuk menunjukkan kekuatan, maksud himpunan rakyat itu tidak akan tercapai. Jangan tukarkan agenda rakyat kepada agenda parti.

Sekali lagi didoakan himpunan esok akan berjaya menyampaikan mesej rakyat. Pihak berkuasa dan Kerajaan pula akan mengambil kira, himpunan esok adalah permulaan kepada himpunan yang lebih besar dan menggugat selepas ini sekiranya tidak ada apa-apa tindakan yang diambil. Penyerahan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong itu juga adalah simbolik bahawa rakyat sudah tidak percayakan lagi kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN).