Kenyataan Media
8 November 2007

Ahli Jawatankuasa Perhimpunan Aman Rakyat BERSIH memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia yang mahukan diadakan reformasi dalam sistem pilihanraya di negara ini diadakan dengan aman dan selamat untuk dihadiri oleh seluruh lapisan masyarakat.

Kaum ibu, kanak-kanak, pelajar dan orang kurang upaya yang ingin turut serta pada perhimpunan yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada pukul 3 petang, 10 November juga boleh datang beramai-ramai bagi menuntut pilihanraya yang bebas dan adil.

Perhimpunan yang akan bermula tepat 3 petang nanti digalakkan menggunakan kenderaan awam bagi mengelak daripada tersekat dalam kesesakan lalulintas.

Sekiranya menggunakan kenderaan sendiri, mereka boleh meletakkan kenderaan mereka seperti berikut:

Dari selatan: Orang ramai digalakkan meletakkan kenderaan mereka di stesen Star LRT Bukit Jalil dan turun di stesen Masjid Jamek.

Dari utara: Orang ramai digalakkan meletakkan kenderaan di stesen komuter Rawang dan turun di stesen Kuala Lumpur.

Dari timur: Orang ramai digalakkan meletakkan kenderaan mereka di stesen Putra LRT Gombak dan turun di stesen Masjid Jamek.

Bagi mereka yang khuatir cuaca hujan mereka tidak digalakkan membawa payung tetapi sebaliknya membawa baju hujan serta topi berwarna kuning.

Orang ramai juga dinasihati membawa bekalan air minuman bersama-sama.

Bagi mereka yang berkemampuan, mereka digalakkan membawa sebarang alat rakaman seperti kamera dan kamera video bagi merakamkan peristiwa bersejarah ini dan hantarkan rakaman-rakaman mereka kepada pihak secretariat di info@bersih.org.

Orang ramai tidak digalakkan membawa sebarang objek tajam dan membahayakan tetapi membawa kain rentang yang menjurus kepada tuntutan BERSIH, bendera Malaysia serta kain-kain kuning yang boleh dikibarkan.

Keselamatan Terjamin

Pihak jawatankuasa telah pun menghubungi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan St John’s Ambulance untuk menghantar petugas-petugas mereka sekiranya sebarang kecelakaan berlaku.

Pihak jawatankuasa juga telah mengumpul seramai 600 sukarelawan bagi mengawal keadaan orang ramai.

Seramai 30 pemantau dari Majlis Peguam akan hadir memastikan hak orang ramai yang berhimpun dijamin.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) juga telah dimaklumkan dan akan menghantar pegawai-pegawai mereka semasa perhimpunan ini nanti.

Perarakan Menghantar Memorandum

Perarakan ini nanti akan bermula di Dataran Merdeka dan kemudiannya berarak menuju ke Istana Negara dengan menggunakan jalan bersebelahan Masjid Negara dan terus menuju ke Istana Negara.

Upacara pelepasan belon juga akan diadakan di perkarangan Istana Negara pada jam 5 petang selepas memorandum ke DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agung diserahkan.

Dikeluarkan oleh:

HAJI MOHAMAD SABU
Pengerusi Perhimpunan Aman Rakyat BERSIH 10 November