Roslan SMS
Hari Isnin lalu sejurus selepas menyerahkan “Memorandum Bantahan PAS kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)”, para pemberita yang menunggu Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS, Tuan Guru Abd Hadi Awang telah mengerumuni beliau dan antara soalan yang ditanya adalah berkenaan Perhimpunan Aman 100,000 rakyat anjuran BERSIH pada hari Sabtu 11 November ini jam 3.00 petang di Dataran Merdeka. Seorang pemberita bertanya, adakah Tuan Guru Presiden merestui perhimpunan tersebut? Jawab beliau, PAS adalah salah satu anggota komponan BERSIH, maka sudah pastilah PAS akan menyokong dan menyertai perhimpunan ini. Malah, beliau sendiri selaku Presiden akan turun mengetuai kontijen PAS.

Apabila seorang lagi pemberita bertanya berkenaan permit ataupun keizinan pihak berkuasa, jawab Tuan Guru Presiden, perhimpunan ini adalah perhimpunan aman dan dan ia dijamin oleh Perlembagaan negara. Maka sewajarnya tidak ada pihak menganggunya, dan beliau menegaskan, PAS akan terus menyertainya sama ada diberikan kelulusan ataupun tidak.

PAS sejak dari penubuhannya lagi telah menerima pendekatan muwajah silmiyah atau pendekatan secara aman untuk berjuang dan menegakkan Islam sebagai ad-Deen dalam negara ini.

PAS menyertai semua 11 pilihan raya selepas Merdeka termasuklah pilihan raya Persekutuan tahun 1955 sewaktu di bawah British. Kerana itu perjalanan pilihan raya itu penting bagi PAS; terbukti ahli dan penyokong PAS menerima dengan hati terbuka semua keputusan-keputusan pilihan raya, sama ada dalam waktu kita menang atau kita kecundang.

Atas dasar itulah pembinaan atau penyediaan gelanggang yang sama rata, sangat penting dan bermakna buat PAS. Kita boleh menerima sekiranya rakyat, atas apa sebab sekalipun, menolak kita dalam mana-mana pilihan raya, dengan syarat ia adalah keputusan rakyat yang tidak dipengaruhi oleh sistem pilihan raya yang tempang atau tercemar.

Rasuah, salah-guna kuasa, penipuan dan sebarang bentuk manipulasi jahat perlulah dihapuskan kerana jika ia wujud, maka keyakinan rakyat terhadap kewibawaan sistem pilihan raya kita akan luntur dan akhirnya hilang sama-sekali.

Kita tidak nampak mengapa pihak kerajaan tidak seharusnya menyokong dan menyambut baik langkah membersih dan menjernihkan sistem pilihan raya negara. Apabila pilihan raya berjalan secara bersih dan jernih, ia nanti bukan hanya akan menguntungkan semua pihak, malah negara luar dan para pelabur asing turut akan menghormati dan memandang tinggi negara kita ini.

Ketika itulah kita layak duduk sebaris dengan negara dunia pertama yang lain.

Oleh itu, bagi PAS, Perhimpunan Aman 100,000 rakyat anjuran BERSIH pada hari Sabtu ini perlu dijayakan kerana kemuncaknya adalah penyerahan memorandum rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Tertinggi Negara, payung rakyat dan negara.

PAS telah pun mengeluarkan arahan rasmi yang ditandatangani oleh Presiden, Ketua Dewan Ulama, Ketua Dewan Pemuda dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat mengarahkan semua ahli-ahli PAS menghadiri perhimpunan itu nanti.

Kita diarahkan hadir dengan berpakaian serba kuning, dalam keadaan aman, kalau boleh beserta anak-isteri masing-masing kerana perhimpunan aman itu nanti akan merupakan perhimpunan yang menyuarakan tuntutan rakyat yang terpancar daripada hati nurani mereka demi mensuburkan demokrasi dalam negara ini.

Presiden dan seluruh pimpinan PAS Pusat akan menunggu anda semua di sana, insya-Allah.