SEREMBAN, 2 Nov (Hrkh) – Atas rasa tanggungjawab dan kesedaran melihat pembersihan demokrasi di negara ini, Gabungan Anak-anak Muda Negeri Sembilan telah melancarkan kempen ‘Gelombang Kuning’ sempena himpunan 10 November ini, kata Jurucakap Sekretariat Kempen, Norazizi Aziz.

“Ia dibuat bagi memastikan perhimpunan rakyat ‘Selamatkan Malaysia’ pada 10 November ini berjaya, gabungan anak-anak muda Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Sekretariat Mobilisasi Rakyat Negeri Sembilan,”kata Norazizi kepada Harakahdaily baru-baru ini. Sekretariat ini didokong oleh parti politik antaranya, Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), PAS, DAP serta turut menggabungkan badan-badan NGO di Negeri Sembilan seperti GERAK, TERAS, ABIM, JIM dan ISMA, kata Norazizi.

Beliau berkata demikian ketika memberitahu perkembangan sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Perhubungan Keadilan Negeri Sembilan mengenai himpunan 10 November baru-baru ini.

Himpunan paling bersejarah

Bercakap mengenai himpunan 10 November, Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shahrin pula berkata, perhimpunan ini adalah yang terbesar dan bakal menjadi himpunan paling bersejarah di Malaysia .

“Fokus utama perhimpunan ini adalah untuk menuntut pilihan raya bersih yang tidak dinodai oleh penyelewengan dan penipuan,” katanya.

Selama ini, dunia disogok dengan propaganda media yang kononnya Malaysia adalah sebuah negara demokrasi, namun hakikatnya Malaysia mengamalkan demokrasi yang tempang, ujarnya.

Justeru, seluruh rakyat Negeri Sembilan perlu hadir untuk menghantar mesej jelas bahawa rakyat sudah bersedia untuk membuat perubahan, kata Badrul Hisham yang juga merupakan penasihat kepada sekretariat ini.

Sementara itu, Pengerusi sekretariat, Mohd Taufek Abdul Ghani turut mengumumkan pelantikan jawatankuasa peringkat Negeri Sembilan.

Sasar 5000 dari Negeri Sembilan sertai himpunan

Sekretariat ini ditubuhkan sebagai medium kepada rakyat Negeri Sembilan untuk mendapatkan penerangan tentang peri pentingnya pilihan raya yang bersih.

“Kita juga turut menubuhkan unit pendaftaran yang meletakkan sasaran seramai 5000 orang bagi menyertai perhimpunan ini,”katanya.

Pihak sekretariat juga telah merangka beberapa program kearah menjayakan perhimpunan ini.

Mohd Taufek yang mengetuai Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan turut melancarkan ‘Gelang Kuning’ sebagai simbolik kepada perhimpunan ini.

Setiap ahli jawatankuasa sekretariat diwajibkan memakai gelang kuning sepanjang kempen ‘Selamatkan Malaysia’ sebagai tujuan promosi, tambah beliau.

SPR kuda tunggangan

Sementara itu, Pengerusi GERAK Negeri Sembilan, Ustaz Suhaimi Kasim turut mengharapkan agar setiap badan NGO di Negeri Sembilan memberikan solidariti terhadap perhimpunan ini.

“Kita tidak perlu gentar untuk menyertai himpunan aman ini,” tegasnya.

GERAK juga melihat bahawa isu rasuah dan korupsi telah menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sanggup ditunggang dengan mengenepikan amanah sebenar, katanya.

SPR yang sepatutnya bebas telah sanggup bersekongkol demi menjamin kelangsungan politik mereka yang mempunyai kepentingan, katanya.

Kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang ingin mendaftar dan ingin mendapatkan cenderahati berwarna kuning seperti kemeja, topi, ikat kepala, ‘button badg’e dan payung, bolehlah menghubungi Sekretariat Mobilisasi Negeri Sembilan, Tze Tze (012-3696474) dan Ariffin Birham (016-2862481) <!––>