KUALA LUMPUR, 30 Okt (Hrkh) – Tinggal hanya beberapa hari lagi, perhimpunan 100,000 untuk menuntut pilihan raya bebas, bersih dan adil akan berlangsung di Dataran Merdeka 10 November ini.

Ini adalah satu perhimpunan sekalian rakyat dan perhimpunan aman bagi menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong.

Ini adalah perhimpunan raksaksa bagi memanifestasikan keluhan rakyat mengenai perjalanan sistem pilihan raya di negara ini yang terlalu banyak sumbing dan tempangnya.

Justeru, tiada sebab ia perlu dihalang oleh sesiapa saja sama ada polis mahupun kerajaan sendiri, kata aktivis politik Badrul Hisham dalam blognya.

Kebelakangan ini katanya, desas-desus dan usaha-usaha untuk menggagalkan perhimpunan ini yang kononnya ianya tidak berpermit malah khabarnya peserta perhimpunan akan dihalang dengan cara termasuk sekatan jalan raya menuju ke Dataran Merdeka.

Khabarnya anggota FRU telah bersiap sedia untuk “menggempur” peserta perhimpunan, kononnya nanti ada yang bakal “tertembak” dan 1001 jenis desas-desus lain yang cuba untuk menakutkan orang ramai untuk turut serta perhimpunan berkenaan, katanya lagi.

“Kepada sekalian rakyat, kita serukan agar jangan gentar dan takut kepada sebarang kezaliman dan kekejaman yang mungkin berlaku.

“Keputusan mahkamah 18 Oktober lalu di mana Abd. Malek Hussin dibayar ganti rugi sebanyak RM2.5 juta atas penderaan serta penahanan secara salah selama 57 hari pada zaman reformasi lain sepatutnya menjadi peransang untuk sekalian rakyat marhaen yang tidak bersalah untuk tidak lagi gentar dengan sebarang ugutan polis atau sesiapa sahaja selepas ini,” katanya dalam blognya di chegubard.blogspot. com.

Dalam pada itu beliau turut memberi petua dan saranan kepada peserta perhimpunan supaya menjaga disiplin sepanjang masa kerana mahu berhimpun secara aman.

“Kita berhimpun untuk merafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong,” katanya.

Nasihat dan tips perhimpunan rakyat

Hadirkan diri dan jangan timbulkan lakukan apa-apa tindakan sebelum mendapat izin dan makluman dari pimpinan perhimpunan malah datang dan sertai kelompok orang yang ramai mengikut pertubuhan masing-masing dan jangan berjalan sendirian, katanya.

Antara lain nasihatnya ialah:

1. Jangan sekali-kali membawa senjata api atau apa-apa juga benda-benda tajam atau bahan bakar.

2.Jangan berlari, jangan membaling apa-apa, jangan rosakkan sebarang kenderaan atau apa juga yang ditemui di sepanjang jalan seperti pokok-pokok, tanaman bunga, papan tanda, bendera dan sebagainya serta jangan memaki atau berbahasa kesat kepada sesiapa sahaja.

3.Elakkan menghisap rokok di sepanjang jalan kerana puntung rokok yang dibuang mungkin boleh mengakibatkan kebakaran dan kemusnahan.

Seandainya kenderaan anda ditahan oleh polis;

1. Dapatkan kad kuasa polis yang menahan dengan baik untuk pastikan beliau sememangnya seorang anggota polis.

2. Ambil gambar dari beberapa kamera yang berbeza terhadap insiden itu

3. Jangan lari, jangan takut tetapi jangan timbulkan sebarang ketegangan

4.Kawal emosi serta berhubung dengan pimpinan sekadar segera

Polis yang berpakaian preman (SB-SB) amat mahir untuk menimbulkan provokasi di dalam keadaan-keadaan seperti itu. Justeru itu tuan-tuan pastikan:

1. Mengenali provokator yang bertindak lain dari apa yang diarahkan pimpinan

2. Mengenalpasti mereka yang melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak sepatutnya ada di dalam sebarang perhimpunan aman seperti membakar bendera, membaling batu, memaki hamun, merosakkan kenderaan dan harta benda serta bertindak ganas.

3. Mengambil gambar-gambar mereka dan perlakuan mereka dari kamera atau videocam yang banyak dan berbeza-beza (penting untuk evidence jika ada kes mahkamah dan penting juga jika satu rampas ada 10 yang lain)

4.Bertanya kawan jika ada yang mengenali “orang yang bertindak ganjil”

5. Bertindak untuk menasihat “perbuatan ganjil” itu dihentikan

6. Melihat kelompok yang membawa sepanduk/banner, supaya hanya sepanduk/banner yang diluluskan sahaja dibawa (ertinya tiada sepanduk/banner yang bermaksud lain daripada motif atau motto perhimpunan)

7. Pakaian yang digunakan oleh peserta tidak ada tulisan atau gambar motif keterlaluan, sebaik-baiknya pakaian berwarna kuning atau memakai pakaian rasmi perhimpunan.

Semoga Perhimpunan 10 November 2007 ini berjaya dengan cemerlangnya dan menjadi titik tolak baru di dalam sejarah kebangkitan rakyat negara ini serta mendapat keberkatan Allah SWT hendaknya, katanya. – mks.