Oleh : Norazizi A. Aziz

Atas rasa tanggungjawab bagi memastikan perhimpunan rakyat “ Selamatkan Malaysia” pada 10hb November ini berjaya, gabungan anak-anak muda Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Sekretariat Mobilisasi Rakyat Negeri Sembilan.

           

Sekretariat ini didokong oleh parti politik Keadilan, PAS, DAP serta turut menggabungkan badan-badan NGO di Negeri Sembilan seperti GERAK, TERAS, ABIM, JIM dan ISMA.

“Perhimpunan ini adalah yang terbesar dan bakal menjadi perhimpunan paling bersejarah di Malaysia. Fokus utama perhimpunan ini adalah untuk menuntut pilihanraya bersih yang tidak dinodai oleh penyelewengan dan penipuan. Selama ini, dunia disogok dengan propaganda media yang kononnya Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. Namun hakikatnya Malaysia mengamalkan demokrasi yang tempang.

Justeru, seluruh rakyat Negeri Sembilan perlu hadir untuk menghantar mesej jelas bahawa kita sudah bersedia untuk membuat perubahan jika tiada sebarang reformasi dilakukan dalam pilihanraya kali ini.” Kata Badrul Hisham Shaharin dalam kenyataan medianya. Ahli MPT Keadilan ini juga merupakan penasihat kepada sekretariat ini.

Pengerusi sekretariat , Taufek Abd. Ghani turut mengumumkan pelantikan jawatankuasa peringkat Negeri Sembilan,”Sekretariat ini ditubuhkan sebagai medium kepada rakyat Negeri Sembilan untuk mendapatkan penerangan tentang peri pentingnya pilihanraya yang bersih. Kita juga turut menubuhkan unit pendaftaran yang meletakkan target seramai 5000 orang bagi menyertai perhimpunan ini. Pihak sekretariat juga telah merangka beberapa program kearah menjayakan perhimpunan ini.” Beliau yang turut mengetuai Dewan

Pemuda PAS Negeri Sembilan juga telah melancarkan “Gelang Kuning” sebagai simbolik kepada perhimpunan ini. “Setiap ahli jawatankuasa sekretariat diwajibkan memakai gelang kuning sepanjang kempen “Selamatkan Malaysia” sebagai tujuan promosi.” tambah beliau

Wakil NGO, Suhaimi Kasim dari Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) juga turut mengharapkan agar setiap badan NGO di Negeri Sembilan memberikan solidariti terhadap perhimpunan ini “ Kita tidak perlu gentar untuk menyertai himpunan aman ini apatah lagi Yang Dipertuan Agong telah bersetuju untuk membuka pintu istana seluasnya bagi menerima memorandum.

 GERAK juga melihat bahawa isu rasuah dan korupsi telah menyebabkan SPR sanggup ditunggang dengan mengenepikan amanah sebenar. SPR yang sepatutnya bebas telah sanggup bersekongkol demi menjamin kelangsungan politik mereka yang mempunyai kepentingan.”

Sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Perhubungan Keadilan Negeri Sembilan ini juga turut dihadiri oleh Ketua Penerangan Keadilan NS, Asmaon Basir dan Setiausaha Pilihanraya Keadilan Negeri Sembilan, Sabarudin Abdullah.

Kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang ingin mendaftar dan ingin mendapatkan cenderahati berwarna kuning seperti kemeja, topi, ikat kepala, button badge dan payung, bolehlah menghubungi AJK Sekretariat Mobilisasi Negeri Sembilan, Tze Tze (012 3696474) dan Ariffin Birham (016 286 2481)