KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) – Bersih beranggapan kenyataan Ketua Polis Wilayah Persekutuan, SAC1 Dato’ Zulhasnan Najib Baharuddin mengenai perhimpunan 10 November di Dataran Merdeka menandakan bahawa polis terasa panik dan cemas dengan sambutan rakyat terhadap penganjuran perhimpunan tersebut.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Kenyataan tersebut disiarkan dalam akhbar The Star (halaman N16) semalam.

Dalam kenyataan akhbar Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dihantar kepada Harakahdaily hari ini, sebagai penganjur yang bertanggungjawab, sememangnya bercadang untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai perhimpunan ini sekurang-kurangnya seminggu sebelum perhimpunan ini diadakan bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan logistik supaya perhimpunan tersebut dapat dijalankan dengan mendapat kerjasama penuh daripada semua pihak.

Menurut Penyelaras Sekretariat Bersih, Mohd Faisal Mustafa, memandangkan Zulhasnan telah pun menyatakan pendapat-pendapat beliau kepada media, Bersih mengambil keputusan untuk menghantar surat temujanji untuk bertemu beliau pada 1 November bagi membincangkan persiapan bagi perhimpunan tersebut termasuk perkara-perkara yang menjadi kegusaran pihak polis.

“Bersih juga akan mendapatkan bantuan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Peguam dalam menasihati serta memberikan bantuan kepada semua pihak yang terlibat pada hari tersebut selain memerhatikan keadaan pada hari yang bersejarah itu nanti.

Tegasnya, perkara ini (perhimpunan aman) adalah tertakluk di dalam perlembagaan yakni hak berhimpun yang telah dinyatakan berulang kali oleh Suhakam berkaitan dengan isu hak berhimpun secara aman dalam beberapa siri perhimpunan dan pihak Suhakam sendiri mengadakan beberapa siri perbicaraan awam mengenai hal itu.

Bersih menganjurkan satu perhimpunan awam besar-besaran bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi memperolehi pandangan dan komitmen baginda terhadap kempen reformasi pilihan raya serta memastikan pilihan raya akan datang sesuatu yang Bersih dan adil.

Perhimpunan tersebut dijalankan berasaskan hak yang diberikan kepada warganegara Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Faisal ketika dihubungi Harakahdaily memaklumkan bahawa sambutan dan sokongan datang mencurah-curah dengan kewujudan pelbagai laman web dan blog yang dibina atas sebab itu.

Selain itu menurutnya, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat antarabangsa juga telah memberikan jawapan untuk menyertai perhimpunan tersebut dengan cara yang tersendiri di kedutaan Malaysia negara masing-masing.

“Setakat ini, Bangkok, London, Netherland, New York dan Ghana menyatakan sokongan dan persetujuan untuk mengadakan perhimpunan atau sekurang-kurangnya menghantar sokongan secara bertulis,” ujarnya.

Faisal turut menyatakan antara faktor yang mendorong rakyat untuk menyertai perhimpunan rakyat itu nanti disebabkan oleh persetujuan yang diberikan oleh Penasihat KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan arahan daripada pimpinan PAS yang menyeru ahli-ahlinya turun dalam perhimpunan tersebut. – mr